Monday, 19 May 2014

Cinta2Musim 7

YN 7

“Noty, selipar aku!” jerit Erika tiba-tiba.Aku yang sudah pun berada di atas bot tersentak.Bot mula terumbang-ambing disebabkan pergerakan aku yang secara tiba-tiba sebaik sahaja mendengar jeritan Erika tadi. Sempat aku melihat selipar merah jambu Erika teroleng-oleng di permukaan air sewaktu tubuhku hampir-hampir rebah ke sisi bot panjang seperti perahu itu.         
          “Yuri!!” jeritan Noty kedengaran kuat serentak dengan pautan dipinggangku yang menghalang aku daripada terjatuh ke dalam sungai.Terhenti nafasku seketika.Terkebil-kebil aku memandang Noty di hadapanku yang masih berdiri di atas jeti bersama Erika.   
          Bot masih teroleng-oleng perlahan.Sunyi seketika.Kemudian terasa tubuhku ditarik menegak agar kembali seimbang.Pautan di pinggangku masih kejap.Aku menoleh ke belakang dengan gerak perlahan.Hampir luruh jantungku apabila melihat wajah lelaki yang sedang erat memaut pinggangku.    
          “Awak tak apa-apa?”Lembut suara dia bertanya.Aku membisu.Masih terkedu dengan peristiwa itu.Apatah lagi aku sedang memandang wajahnya dari jarak sedekat itu.Jantungku tiba-tiba sahaja berdegup kencang mengepam oksigen.         
          Menggigil tanganku menunjukkan arah tangannya yang sedang memeluk tubuhku. 
          “Owwhh... Err... maaf! Tak sengaja.Saya spontan sambut awak tadi.Maaf ya?” pintanya bersungguh-sungguh.Berkerut-kerut keningnya.        
          Aku membetulkan berdiriku.Sambil menggosok lengan gara-gara malu.Sekarang ini sah-sah muka aku merah padam. Mahu kena gelak dengan Noty dan Erika seminggu macam ni.    
          Pak Cik bot pun sudah tersenyum-senyum. Memang memalukan betul aku sekarang ni! Aku terus duduk di atas salah satu bangku bot. Bukan duduk sebenarnya tapi terduduk kerana terkejut dan malu.      
          Lelaki itu kulihat segera melompat ke atas bot-bot yang lain yang ‘diparking’ berderet-deret di jeti itu. Selipar merah jambu Erica yang teroleng-oleng di dalam air digapainya. Mak aih, baiklah pulak mamat ni! Tapi sejak bila pula dia jahat? Aku aje yang perasan lebih hari tu. Aku berbalas komen dengan hatiku sendiri. 
          Dan ketika ini jugalah dia memandang tepat ke mukaku. Kami berbalas pandang seketika sebelum aku memandang ke depan semula. Entah kenapa aku rasa mukaku panas. Tidak aku peduli dengan Noty dan Erica yang terkial-kial cuba menaiki bot itu. Penumpang bot itu pula semakin ramai.Setelah memulangkan selipar Erica, lelaki itu terus mengambil tempat duduk di sebelahku, di belakang tempat duduk Noty dan Erica. Maklumlah satu tempat duduk hanya mampu memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa.     
          Masalahnya sekarang adalah aku. Aku mula tak senang duduk. Panas mukaku macam tak nak hilang pula. Aku perasan yang dia tertoleh-toleh ke arahku.       
          “Awak panas ke? Sebab tu muka awak merah kan? Itulah, lain kali nak pergi mana-mana bawaklah payung. Sekarang ni musim kemarau, panas.”      
          Hai, ambik berat nampak? Isy, aku ni pun satu. Tak habis-habis lagi ke muka merah ni. Jantung pun dah tak tentu hala berdegupnya. Aku rasa aku dah...         
          Eh, tak! Tak… tak! Tak mungkin! Tak boleh jadi ni. Aku memberanikan diri menoleh ke arahnya kali ini. Ternyata dia masih memandangku. Ada riak kebimbangan pula yang terpapar jelas di wajahnya.     
          Tapi aku pula... Jatuh cinta ke aku? Ah, sah! Pandang pertama pulak tu! Kalau Abang Zul tu hensem macam Shahid Kapoor, dia lagi hensem daripada tulah. Yalah, hero cerita mana yang tak hensem kan?  
          Dahlah duduk sebelah menyebelah begini, saling memandang pulak tu. Ini yang membuatkan aku semakin angau. Alamak! Yurisya... dah-dah la pandang dia tu. Dah nak terkeluar agaknya biji mata kau tu. 
          “Awak tak apa-apa ke?” Pertanyaannya membuatkan aku tersentak dari angan-anganku yang sudah menyasar jauh.  Astaghfirullahalaziim... Yurisya!        
          “Err...ya. Ya, saya tak apa-apa. Mungkin sebab panas sebab tu muka saya merah.” Aku tertunduk. Memandang lantai papan bot sajalah. Dah malu yang teramat dah ni.
Seminggu sebelum itu, aku sudah pun menghabiskan masa cuti di rumah. Abang Ngah pula membawa balik kawannya yang bernama Zul Fazry tu ke rumah. Atau lebih tepat dengan memanggilnya Abang Zul. Katanya cuti lima hari.       
          Hai, ingat cuti raya ke sampai lima hari? Buat aku menggelabah je. Elok merancang nak makan tidur, makan tidur aje kat rumah dah kena menguruskan dua teruna tu pulak. Sudahlah Abang Zul tu pandang aku semacam je. Macam tak pernah tengok perampuan.  
          Tapi nasib baik dia hensem. Sekali pandang macam Shahid Kapoor pun ada. Kira hensemlah tu. Apa lagi, aku pagi-pagi tak sah kalau tak bangun awal dan tayang muka rajin aku ni kat dia. Alah, manalah tau kot dia betul-betul nak buat aku ni jadi calon menantu mak dia ke.        
          Eleh, padahal mak yang paksa aku bangun pagi-pagi. Yelah, ada tetamu kan mestilah kena bangun pagi, sediakan makan minum apa yang patut. Takkan nak tunjuk malas pulak kan?
          “Eh, Yuri. Jom la join kitorang sekali. Ada orang perempuan teman makan ni baru best,” Abang Zul cuba berseloroh agaknya tapi kedengaran pelik pada pendengaranku.       
          “Abang nak pergi ambik telefon kejap kat dalam bilik tu. Takut buah hati call. Tak angkat kang merajuk seminggu pulak.” Abang Ngah berlalu ke dalam biliknya. Saja je nak bagi can kat Abang Zul berdua dengan aku. Dia ingat aku tak tau apa.   
          “Alah bang. Kalau dah boring makan sorang-sorang carilah bini sorang,” aku berseloroh juga. Aku sekadar tersenyum tapi dia aku tengok sudah tersengih-sengih.       
          “Itulah. Kita nak orang pulak tak nak.” Dia terus menyuap nasi goreng yang mak masak ke mulutnya. Tak jemu-jemu dia makan padahal hari ni dah masuk hari ke tiga mak masak makanan yang sama untuk sarapan.        
          “Habis tu kenapa tak cari je orang yang nak kat kita?” aku melabuhkan punggung di kerusi yang paling hujung di meja makan yang bulat tu. Abang Zul terus tersengih-sengih. Nak coverlah tu konon. 
          “Hai... mesra nampak?” Abang Ngah yang muncul kembali mencelah. Ingatkan nak terperuk je dalam bilik tu sampai esok.     
          “Mana ada, abang ni! Orang nak ke depan ni. Dah habis makan nanti jangan lupa basuh sendiri pinggan tu,” kataku dengan nada serius. Tapi memang serius pun. Sekali sekala biar dia orang basuh sendiri apa salahnya kan? Bukan tak biasa pun. Kat rumah sewa dia orang kalau diri sendiri tak basuh siapa lagi yang nak basuh.

“Abang ada benda nak bagi ni. Yuri nak tak?” tiba-tiba Abang Ngah muncul di ruang tamu rumah. Aku pula hanya duduk termenung di anak tangga rumah kayu ni.      
          “Nak bagi apa? Kalau hadiah mestilah nak.Tapi kalau setakat nak bagi laki free, sorrylah. I tak layan.” Jawabku selamba.Tak tahulah kalau ada yang mendengar.      
          Aku turun dari tangga dan menyarung selipar Adidasku sambil merenung rumah kampung kami yang beratap zink ni. Memang jelas kelihatan rupa tua rumah yang dah uzur ni.    
          Maklumlah rumah pusaka peninggalan datuk lagi.Aku mengerutkan dahi sebaik sahaja mataku beralih semula kepada Abang Ngah yang tersenyum-senyum penuh makna. 
          “Abang ni senyum-senyum ni kenapa?”    
          “Nampak macam betul je tak lama lagi abang nak dapat adik ipar,” ujarnya.Senyumannya melebar.Aku mula panas hati. 
          “Siapa yang nak kahwin ni hah?” tinggi suaraku. Abang Ngah buka ambil hati pun. Dia siap angkat kaki seribu lagi takut kena tarik telinga dengan aku.Terkekek-kekek dia ketawa. Tak apa. Ketawalah, ketawa sampai pecah perut tu!    
          Dengan tawa yang masih bersisa, kulihat Abang Ngah mengeluarkan sesuatu dari poket seluar track-suitnya.Dihulurnya benda alah itu kepadaku.   
          “Nokia....?” Aku ternganga.Jangan salah sangka ya. Bukan smartphone Lumia 710 atau Lumia 800, tapi Nokia C1-01 je.      
          Aku ternganga tu sebab ada abang yang sanggup belikan adik dia yang seorang ni telefon bimbit. Kalau dia bagi aku 3310 pun aku dah cukup suka. Ini pulak C1-01, ada memory card, boleh browse, mms dan email. Boleh guna opera mini lagi.
          Macam mana manusia yang tak pernah guna handphone macam aku ni boleh tau benda-benda macam ni? Eh, aku tahulah. Noty pun guna handphone ni sebelum dia tukar Sony Ericson Xperia yang touchscreen tu. Lagipun Nokia macam ni baling kat dinding sepuluh kali belum tentu pecah. Kuat dan tahan lasak.        
          Ya Allah, Yurisha! Apa yang kau mengarut ni? Dah macam orang nak iklan gadget Nokia aje rupanya. Selepas seketika, aku kembali ke alam nyata.   
          “Abang bagi orang ke ni?” tanyaku kepada Abang Ngah. Dia mengangguk sahaja.     
          “Biar betul? Thanks...!” ucapku ikhlas sambil memeluk lengan kanannya.        
          “Hai, tadi gayanya dah macam nak tarik telinga abang ni sampai putus. Sekarang ni manja bukan main.” Sempat Abang Ngah memerliku. Aku sekadar mencebik dalam suka.


“Awak, dah sampai.” Lembut sahaja cara percakapannya mengembalikan semula aku ke alam nyata. Aku berdiri dengan tubuh yang sedikit tehuyung-hayang. Yalah, dah bot ni bergerak-gerak.         
          Aku melihat dia bersungguh-sungguh memaut badan bot rapat ke jeti. Bimbang kalau-kalau aku terjatuh lagi. Tapi kalau aku jatuh, kau jugak yang untung. Isy mulut ni! Ada aje benda yang bukan-bukan yang aku fikirkan.     
          “Saya tolong pegang bot jelah. Nak pegang tangan tak boleh,” dia seperti memahami apa yang sedang aku fikirkan. Tapi tidak pula aku pasti sama dia  serius atau sekadar berseloroh  denganku.
          Aku naik dengan selamatnya ke jeti. Bibirku pula automatik melemparkan senyum kepadanya tanda terima kasih. Tapi dia kelihatan bersahaja. Apa, ingat aku nak goda dia ke?         
          “Saya Adif. Awak?” dia memperkenalkan diri. Aku apalagi, mula gatal merenyam. Sukanya!   
          “Err... saya Yuri. Yurisya.”      
          “Yuri, uniknya nama,” katanya sambil tersenyum.       
          Alamak! Aku terpana melihat senyumannya. Jatuh cinta lagi... lagi-lagi kujatuh cinta... Terngiang-ngiang lagu nyanyian Wali Band di telingaku saat ini. Tapi ada ke orang yang jatuh cinta dua kali dalam satu masa dengan orang yang sama? Macam aku ni.        
          “Erm... saya jalan dululah ya,” pintanya dengan penuh sopan. Mak aih... hati aku dah cair macam ais krim dah ni. Boleh meleleh air liur mak aku kalau dapat menantu macam ni. Yurisya, apa yang kau merepek ni? Baru tingkatan empat dah pandai nak menggatal ya? Mungkin ini yang akan dibebelkan mak kalau dia tahu perangai anak tunggal perempuan dia ni.    
          Aku mengangguk sahaja sambil memerhatikan langkahnya meninggalkan jeti. Dalam sempat berangan tu, aku macam tersedar sesuatu yang tak kena. Apa ya?         Terasa macam ada orang tengah spy aku.     
          “Amboi... tersengih-sengih sampai ke telinga ya? Aku tengok kaki kau pun macam dah tak jejak tanah. Terapung-apung je di awangan. Kuat betul penangan mamat tu sampai Cik Yuri kita ni boleh angau sampai macam ni.” Bukan main panjang perli si Noty ni. Tak menyempat aku nak memotong.      
          “La... ada ke korang? Aku ingat dah kena tinggal kat jeti sana tadi,” tersipu-sipu jugaklah aku dibuatnya. Mana taknya kalau dah depan-depan macam ni kantoi.      
          “Yang main peluk-peluk tu sebabak. Main tenung-tenung sampai merah muka tu lagi sebabak. Sampai kawan kat depan mata pun boleh tak perasan.” Erica pun sudah memulakan soundnya.  
          “Eh, mana ada aku tak perasan. Saja je tu aku buat-buat tak nampak.” Ah, nak cover line lah tu. 
          “Buat tak nampak konon. Aku tengok mata kau tu dah bersinar-sinar dengan bentuk love gitu. Lip-lap, lip-lap lagi.” Ada pulak mata aku ada bentuk love. Gila apa? Ingat kartun popeye ke Noty ni?       
          “Love? Eii...tolonglah!” Aku masih berdalih sedangkan hatiku saat ini sudah seratus peratus terpikat dengan Adif. Hai Yurisya, yakin benar nampaknya?       
          “Eh, siapa nama dia? Cerita la sikit. Aku tengok bukan main lagi kau sembang dengan dia.” Pandai-pandai aje Noty ni menokok tambah.       
          “Adif... Hei, mana ada aku sembang dengan dia? Pandai-pandai kau je kan?”   
          “Memang aku pandai pun. A..dif...” seketika Noty berdecit. Alisnya terjongket-jongket.         
          “Aku rasa dia tu cucu Tok yang rumah dia tepi sungai tulah. Tapi setahu aku nama cucu Tok tu Man.” Noty menggaru-garu dagunya. Kehairanan jelas terpapar pada wajah bujur sirehnya.    
          “Dia bagitahu aku nama dia Adif. Takkan aku salah dengar kot. Atau kau yang salah orang?” pantas aku menafikan.       
          “Aku tak cakap pun yang kau salah dengar. Aku cuma konfius sikit. Tapi muka dia tu memang sah cucu Tok. Aku yakin sangat.” Bersungguh-sungguh nampaknya Noty.  
          “Macam mana kau boleh yakin dia tu betul cucu Tok yang kau cakapkan tu?” soal Erica.         
          “Mesti sebab dia terlebih hensem kan?” sampukku tiba-tiba. Kedua-dua belah tanganku kuletakkan di dagu. Angau sungguh aku hari ni. Tiba-tiba kurasa kepalaku ditunjal.
          “Oit...apa main tunjal-tunjal kepala orang ni?” marahku. Kelihatan Noty mencebik.   
          “Ha...betullah tu. Sebab dia terlebih hensemlah aku yakin tu dia. Tapi yang kau pulak lebih-lebih ni kenapa? Kau memang syok kat dia eh?” Pandai Noty ni serkap jarang. Aku pun apalagi, tersipu-sipulah.         
          “Senyum-senyum pulak dia,”  kata Erica sambil mencucuk pipiku dengan jari telunjuknya.        
          “Dahlah. Jom. Kalau diturut sangat perangai Yuri ni, makan tidur kat jeti nilah kita jawabnya.” Noty terus mengangkat begnya diikuti oleh Erica. Aku hanya menurut dari belakang. Namun senyuman masih tidak lekang dari bibirku.

Hari ini sudah masuk hari kelima aku berada di rumah nenek Noty ini. Memang menyeronokkan berada di sini. Nek Su Tijah pun ramah orangnya. Walaupun umurnya sudah hampir 70 tahun, namun keadaan tubuh badannya masih kuat.   
          Nek Su Tijah hanya membela itik dan ayam kampung sahaja untuk menyara hidup. Maklumlah, orang tua sepertinya hidup seorang diri. Anak-anak hanya balik sekali sekala.Sekadar menjenguk ketika ada masa lapang dan cuti sekolah.                
          “Ika!”Kedengaran Nek Su Tijah memanggil Noty.Ini satu lagi benda pelik dalam hidup Noty. Dalam ahli keluarganya hanya neneknya seorang sahaja yang memanggil nama sebenarnya. Itupun nama ringkas atau lebih tepat lagi nama hujungnya, Yur-ika.     
          Kelihatan Nek Su Tijah menaiki tangga sambil membawa tikar lipat di tangannya.    
          “Mana Si Ika ni? Tadi beria-ia benar suruh Nek Su carikan tikar ni,” bebel Nek Su Tijah sambil duduk di kerusi rotan di ruang tamu. Melepaskan lelah menaiki tangga agaknya.    
          “Tadi ada je dia kat dapur tu, Nek Su. Tak apalah, biar Yuri ambik tikar ni,” kataku sambil mengambil tikar yang sudah pun diletakkan di atas lantai berdekatan meja rotan yang juga satu set dengan kerusi rotan Nek Su Tijah. 
          “Hah nek, mana tikar tu?” soal Noty yang baru muncul dari pintu dapur dengan Erica.         
          “Ni ha tikarnya. Engkau ni, tak kesian ke dekat nenek kau tu. Boleh pulak kau suruh Nek Su ambikkan.Patutnya kau pergi sendiri je,” kali ini aku pula yang membebel.   
          “Alah, nenek kan masih kuat kan, nek? Tengok muscle Nek Su ni, berketul-ketul wa cakap lu...” tersengih-sengih Noty berseloroh dengan Nek Su sambil memegang lengan Nek Su Tijah. Nek Su Tijah hanya tergelak kecil.  
          “Nak bodek Nek Su la tu. Ika ni, terperuk kat dapur dari tadi, dah siap ke semua barang-barang yang nak dibawak tu?” soal Nek Su Tijah.        
          “Dah nek. Tunggu nak bawak ke sana je lagi. Nek Su tu, orang ajak pergi sekali tak nak pulak,” rajuk Noty.Tapinampak sangat dibuat-buat rajuknya itu.   
          “Tak apalah. Nek Su ni mana sesuai dengan aktiviti-aktiviti anak-anak muda macam kamu ni. Lagipun kamu semua nak besuka ria kan, pergi ajelah. Tapi satu pesan Nek Su, jaga diri tu elok-elok.Jangan turun dekat sangat dengan tebing sungai, bahaya.Walaupun musim sekarang air tak berapa deras, tapi tetap bahaya. Tambah-tambah orang yang tak reti berenang macam kamu semua ni.” Panjang lebar nasihat Nek Su Tijah.Aku cuma mengangguk faham.       
          “Yalah, nek. Kami ingat tu.”

No comments:

Post a Comment