Monday, 19 May 2014

Cinta2Musim 13 and 14

YN 13

OKTOBER 2008

BUKU nota kecil berwarna hitam ini kucoret lagi dengan tinta hitam. Menceritakan pahit manis hari ini dengan setia. Sesekali aku termenung di beranda rumah Tok yang sudah hampir dua puluh tahun kududuki ini. Rambut yang agak panjang terjuntai di dahi kutolak ke belakang. Kemudian aku bersandar di kerusi rotan usang ini.   
          Bukannya apa. Aku sering kali teringatkan gadis bernama Yurisya ini. Senyumannya yang manis dan sifatnya yang matang membuatkan aku selesa bersamanya.    
          “Man, termenung jauh je? Teringatkan Yuri ke?” tegur Tok dari belakang. Aku tersenyum memandang wajah Tok yang sudah berkedut seribu itu. Rambut Tok yang beruban disanggul tinggi dan dihias dengan lingkaran bunga melur buatan sendiri. Semerbak baunya menerjah rongga hidungku.   
          “Rindu aje Tok. Dah lama tak jumpa,” balasku pendek. Aku mencapai tangan Tok yang urat-uratnya timbul. Tangan Tok kuteliti dan kugosok perlahan. Kuku-kuku Tok sudah pendek dipotongku semalam. 
          “Dah banyak bulan benar Man berkawan dengan Yuri. Tapi Tok tak pernah jumpa pun lagi. Tak nak bawa jumpa Tok ke? Tok nak juga tengok rupa bakal cucu menantu Tok yang sulung ni.”
          Wajah Tok kupandang lagi. Tok tersenyum cuma. Kelihatan gusinya yang menandakan Tok aku ini sudah sangat tua. Tiada sebatang gigi pun yang tinggal.       
          “Apa pulak bakal cucu menantu ni Tok? Jauh berangan Tok ni,” kataku.
          “Kalau tak berangan tak merasalah Tok nak tengok cicit nanti. Tok tak nak pergi dengan tak sempat tengok cucu kesayangan Tok ni bahagia.”  
          “Tok ni janganlah cakap macam tu. Man ni muda lagi Tok. Bahagia tu ada kat mana-mana. Lagipun mana lah tahu kalau-kalau yang pergi dulu tu Man.” Aku melepaskan tangan Tok dalam genggamanku. Tanpa melihat wajah Tok aku tahu mata tua Tok tajam menikam ke mukaku.    
          “Orang muda perjalanannya masih jauh.” Pendek kata-kata Tok. Namun aku hanya diam.
          “Bawa la Yuri ke sini.”
***
YN 14

“TENGAH study ke?” Kedengaran suara Adif di hujung talian. Aku mengambil sebiji bantal dan kuletakkan di atas riba. Telefon pemberian Abang Ngah ini melekap di telinga kananku.                  
          “Tak pun. Baca nota-nota sejarah ni je. Awak?”  
          “Break kejap. Penatlah study. Minggu depan ada test.”
          “Hmm. Mesti awak rindu kat saya kan sebab tu awak telefon saya.” Saja aku ingin bermanja dengannya. Aku cukup suka mendengar kata-kata cinta darinya.     
          “Yup. Sebab abang rindukan Yuri. Dah lama tak jumpa Yuri ni, abang teringin pulak nak tengok muka Yuri.” Suara Adif kedengaran tenggelam timbul di talian. Aku terkesima seketika. Abang? Sejak bila pula Adif buang tabiat berabang dengan aku ni?   
          “Aa… apa tadi? Abang? Sejak bila pulak awak pandai berabang dengan saya ni. Tak pernah-pernah pun.” Adif tergelak.           
          “Sejak abang jatuh cinta dengan Yurilah. Takkan tak boleh kot? Kan abang dua tahun lebih tua dari Yuri.” Aku terdiam mendengar kata-katanya. Dia juga diam di hujung talian. Agak lama. 
          “Yuri, Tok ada tanya pasal awak. Bila awak nak datang jalan-jalan kat sini lagi?” Tiba-tiba Adif mengubah topik perbualan. Aku sedar mungkin dia juga tidak selesa dengan kata-katanya pada awal tadi. Walaupun aku sebenarnya teringin juga memanggilnya dengan panggilan itu.      
          “Entahlah. Sekarang tengah sibuk dengan kelas tambahan semua. Jumaat Sabtu pun ada kelas tambahan. Eh, awak bagitahu nenek awak tu ke pasal saya?”  
          “Ye la. Tak boleh ke? Saya kan cucu kesayangan Tok.” Sayu suara Adif.  
          “Awak, sebenarnya saya nak tahu semua tentang awak. Awak ni banyak sangat misteri yang saya nak korek,” kataku tanpa segan. Sejujurnya aku memang ingin dia memberitahuku segala tentangnya. Aku ingin tahu latar belakang keluarganya. Kenapa dia hanya tinggal dengan neneknya? Kenapa hidupnya seperti sebatang kara?
          “Kalau macam tu, awak kenalah datang melawat Tok kat sini. Tok boleh cerita semua pasal saya kat awak. Apa yang awak nak tahu semua Tok tahu. Awak tanya je Tok.”
          “Kenapa awak sendiri tak nak bagitahu saya? Kan lagi senang macam tu?”      
          “Awak ni. Saya saja je nak cari alasan supaya awak datang jumpa Tok. Tok nak sangat jumpa bakal cucu menantu dia yang sulung ni. Lagi pun kan best kalau Tok yang cakap. Apa-apa rahsia pun Tok takkan simpan. Kalau dengan saya, saya boleh kelentong awak sesuka hati saya, kan?”   
          Panjang lebar pula Adif berkata-kata. Aku berfikir sejenak mendengar kata-katanya itu.         
          “Apa pulak bakal cucu menantu ni? Sejak bila pulak saya nak kahwin dengan cucu Tok. Tak malu la awak ni!” protesku. Aku inimasih di bangku sekolah untuk membicarakan soal kahwin.     
          “Bukan saya yang cakap tapi Tok sendiri yang cakap. Dengar saya cerita pun Tok dah berkenan. Kalau jumpa depan-depan mesti Tok suruh akad nikah terus.” Adif ketawa lagi. Lelaki ini memang suka ketawa. Suatu lagi tarikan yang sukar ditemui pada mana-mana lelaki.         
          “Awak ni gatal jugak kan? Sudah-sudah lah mengusik saya. Saya tak makan pun gurauan yang macam tu.”      
          “Ye ke? Entah-entah muka dia dah merah macam udang bakar tak?” Adif masih galak mengusikku.       
          “Pasal awak cakap cucu sulung tadi tu, awak ni ada adik beradik lain ke? Atau sepupu ke?” soalku apabila teringat tentang cucu menantu sulung yang dikatakannya tadi. Kalau aku bertanyakan adik beradik tiri sebelah ibunya, takut dia terasa pula nanti.        
          “Mana ada. Ayah anak tunggal Tok. Tapi saya ada seorang adik yang tinggal dengan mak dan papa dekat KL.”       
          “Oh, jadi awak dua beradik lah ni. Tak pernah pulak awak cerita kat saya pasal ni.”  
          “Ha, itulah! Nak tahu kenalah datang rumah Tok. Nanti apa je yang awak nak tahu, tinggal tanya je kat Tok. Kalau Tok tak nak jawab, awak tanya saya pulak. Okey?” Bersemangat pulak aku dengar Adif ni. Bersungguh-sungguh benar dia mahu aku ke rumahnya di pulau itu.
          “Tengoklah. Kalau free nanti, saya pergi. Yang penting sebelum saya examlah. Nak jugak mintak restu Tok untuk exam nanti. Tapi boleh tak kalau saya bawak Noty dan Erica sekali? Seganlah kalau saya datang seorang,” pintaku. Sememangnya agak canggung untuk ke sana sendirian. Lainlah kalau ada Noty dan Erica. Lagi pula Noty anak jati dari kampung itu. Neneknya ada tinggal di pulau itu. 
          “Saya tak kisah pun. Lagi ramai lagi bagus, meriah sikit. Tok tu sunyi sangat duduk rumah ni. Tak pun awak bawak sekali family awak. Boleh la awak pinang saya terus.”       
          “Isy, ke situ pulak dia! Okeylah. Apa-apa pun nanti saya inform awak. Saya dah mengantuk ni. Jangan lupa kirim salam kat Tok,” kataku.   
          “Okey. Sayang awak. Assalamualaikum.”  
          Aku mengetap bibir. Panggilan dimatikan dan salamnya hanya berjawab di dalam hati sahaja.

***

No comments:

Post a Comment