Monday 19 May 2014

Cinta2Musim 20 & 21

YN 20]

AKU melihat gadis yang sedang tidur itu. Pada wajahnya tergambar jelas riak keletihan yang teramat. Tiba-tiba telefon bimbit terlepas dari tangannya membuatkan dia tersentak dari tidur. Dia memandangku tetapi seakan-akan masih mamai. Kemudian dia menggosok matanya. Barangkali mahu memastikan siapa yang dilihatnya ketika ini.     
          Ketika dia berdiri itulah baru aku mengenalinya. Begitu lama masa kuambil untuk saat ini. Lima tahun bukan masa yang singkat untuk aku mengambil keputusan kembali ke sini. Dan kini aku kaku tanpa mampu berbuat apa-apa. Hatta untuk menyebut namanya pun aku tidak mampu. Yang kumampu hanyalah memandang wajahnya sahaja.  
          Yuri seperti ingin rebah apabila dia terus memandangku. Berkali-kali dia mengalihkan pandangan, barangkali mahu memastikan adakah benar aku berada di sini. Aku juga hanya mampu memandang tanpa dapat memberi sebuah senyuman pun.         
          “Man, dah sampai?” Suara Anis segera kukenal. Aku menoleh ke arahnya.       
          “Sorrylah. Aku betul-betul tak dapat datang awal. Ini pun aku cuba jugak supaya aku boleh datang hari ni. Aku tahu esok mesti sibuk sangat,” kataku. Anis hanya tersenyum sambil memaut tangan Yuri.  
          “Yuri, jom masuk dalam dulu. Kita minum sambil borak. Aku haus ni,” ajak Anis. Tanpa berkata apa-apa Yuri kulihat hanya menurut.    
          “Man, kau pun. Jom!”   
          Aku mengikut langkah kaki Anis ke dalam restoran. Kami duduk di sebuah meja bersaiz segi empat tepat di satu sudut restoran. Anis memanggil seorang perempuan dalam usianya dengan panggilan Shima dan memesan minuman untuk kami.     
          “Aik, kita belum bukak kan? Dah boleh pesan minum ke?”soalku hairan. Kedengaran tawa Anis dan Shima.   
          “Apalah kau ni. Esok lusa kita dah nak bukak kan? Mestilah semua barang kat dalam tu dah setel. Semua kitorang dah setup. Tunggu chef masuk je,” ujar Anis dengan suara yang ceria. Lain pula halnya dengan Yuri. Kulit mukanya kelihatan pucat. Namun Anis masih belum menyedari situasi kekok antara aku dengan Yuri.       
          “Yuri, kau kenapa senyap je? Ni aku nak perkenalkan kau, my best friend, Akif Luqman. Chef dapur kita.” Mendengar kata-kata Anis, aku mencari reaksi terkejut dari Yuri namun tiada. Air mukanya tidak berubah langsung. Masih tetap seperti tadi.     
          “Yuri, saya…” tidak sempat aku menghabiskan kata-kataku, Shima datang menatang minuman kami. Sebaik sahaja Shima beredar dan tanpa menunggu sesaat pun, Yuri terus mencapai gelas minuman dan menyisip. Jari-jemarinya kelihatan menggigil ketika memegang gelasnya. Setelah dia meletakkan kembali gelas itu di atas meja, aku tunduk memandang buku kecil yang berwarna hitam di tanganku.   
          ‘Ini bukan masanya. Aku tak rasa Yuri bersedia untuk ini. Dan aku sendiri pun belum cukup bersedia untuk memberitahunya perkara sebenar.’ Monologku sendiri di dalam hati.
***

YN 21


AIR yang sejuk baru sahaja membasahi kerongkongku yang terasa begitu kesat. Mindaku kembali waras setelah beberapa minit aku berasa di zon kaku. Itu pun setelah Anis memanggil namaku berkali-kali. Aku menggeleng mendengar soalan Anis. Jujur aku tidak mahu dia mengesyaki sesuatu antara aku dan Adif. 
          “Err… jadi awak tinggal kat mana nanti? Kalau awak nak tinggal dalam resort, saya boleh aturkan bilik untuk awak. Senang untuk awak berulang alik ke sini,” kataku memberi cadangan. Adif mengeluh panjang tiba-tiba.       
          “Ah, sorry! Err, saya tinggal dekat rumah arwah nenek. Dekat je dari sini. So, saya tak perlukan bilik dekat sini.” Dia menjawab dengan selamba. Aku mengangguk faham. 
          “Pasal kertas cadangan menu, macam mana?” soal Anis.       
          “Oh, ada! Ni, tapi saya tak pasti sama ada Cik Yuri setuju atau pun tak,” katanya sambil mengeluarkan fail klip berwarna putih dari beg galasnya.     
          “Tengoklah dulu. Apa-apa perubahan beritahu je. Nanti saya akan kemas kini balik. Draf jadual tukang mask pun saya dah siapkan berdasarkan bilangan tukang masak yang Anis hantar pada saya.”
          Aku menyambut fail yang dihulurkannya. Entah kenapa debaran di hati seperti tidak ingin hilang, apatah lagi dia terlalu formal denganku seperti baru pertama kali jumpa. Malah membahasakan aku sebagai ‘cik’ membuatkan aku bertambah tidak selesa.               
          “Apa kau ni? Janganlah formal sangat. Dia kawan kita jugak. Kalau kau panggil dia cik seganlah dia nanti,” marah Anis seolah-olah mengerti kemelut perasaanku ketika ini. Aku pura-pura tersengih.     
          “Sorry. Bukan apa, sebab tak biasa je.”     
          Aku membelek kertas cadangan menu yang disediakan olehnya. Semakin diteliti semakin aku terkejut. Draf yang disediakannya hampir sama dengan draf yang aku buat sendiri. Boleh dikatakan sembilan puluh lima peratus hampir serupa. Macam mana ini boleh terjadi.       
          “Kenapa awak nampak terkejut tengok draft tu? Tak suka ke?” peranyaan Adif membuatkan aku terkesima seketika. Kemudian aku menggeleng. 
          “T… tak. Kita boleh proceed dengan yang ni. Cuma, macam mana awak boleh terfikir nak keluarkan menu utama restoran dari menu untuk majlis perasmian nanti?” soalan itu terpacul dari mulutku tanpa keraguan kerana itu adalah salah satu perbezaan antara draf aku dengan draf miliknya.   
          “Sebenarnya saya dengan kawan saya yang discuss pasal menu ni pernah terlibat dengan majlis perasmian tempat saya bekerja dulu. Kami dapati keesokan selepas hari perasmian, pelanggan yang singgah ke restoran terlalu sedikit. Itu disebabkan oleh semua menu utama restoran dihidangan pada hari kejadian. Jadi pendapat kami, kita kena keluarkan menu tu untuk menarik pelanggan supaya datang semula pada hari-hari yang lain.”
          “Tapi macam mana dengan VIP pulak? Diorang pun nak jugak rasa menu utama tu. Lagi pun kalau kita tak hidangkan menu tu, nanti pelanggan tak akan tahu tentang menu tu,” komenku. Aku tidak begitu bersetuju dengan pendapatnya. 
          “Tak Yuri. Strategi kita sebenarnya kita nak cuba memberikan perasaan suspens kepada bakal pelanggan. Kita adalah sebuah resort yang dibangunkan di bawah seliaan kerajaan. Jadi kerajaan akan membantu dari segi promosi resort dan juga restoran ni. Resort ni pun ada pakej persiaran dan makanan. Jadi menu tu akan termasuk dalam pakej tu sekali. Kita tak perlu tonjolkan kesemua menu tu nanti. Dan lagi satu, daripada dua puluh tiga resepi tiram kita masih ada tiga resepi yang akan dihidangkan pada hari kejadian.”   
          Keterangan panjang lebar daripadanya sebenarnya sudah dijangkakan. Mestilah dia mempunyai alasannya sendiri kenapa dia berbuat begitu. Lagi pula dia lebih berpengalaman daripada aku yang baru hendak bermula ini.     
          “Erm, nampak gayanya awak dah banyak buat research pasal hal ni. Okey saya setuju. Kita proceed dengan cadangan ni.” Adif tersenyum pendek mendengar persetujuanku. Aku pula menarik nafas panjang dan menghembus perlahan.      
          “Erm, awak nak masuk tengok dapur dulu ke?” tanyaku mempelawa. Seboleh mungkin aku mengelak untuk berasa kekok dengannya. Bukan hari ini saja kami akan bersemuka tetapi untuk satu tempoh yang lama. Lagi pun dia di sini bukan terikat dengan kontrak. Dia boleh berhenti bila-bila masa yang dia mahu. Itu sahaja perjanjian kami.
          “Ya, saya memang nak tengok pun. Nak tahu jugak macam mana Anis decorate dapur tu untuk saya,” ujarnya penuh semangat. Aku menoleh ke arahnya. Kemudian kepada Anis pula. Anis tergelak. Kami sama-sama sudah berjalan menuju ke dapur.  
          “Alah, aku cuma nak cuba tunaikan impian kau selama ni untuk dapat sebuah dapur yang kau nak. Yang memenuhi citarasa kau.” Jawapan Anis mengejutkan aku. Tidak pernah pula dia memberitahuku mengenai tujuan dia memilih konsep santai begitu.   
          “Kau tak bagitahu aku pun kau decorate dapur kita khas untuk Man? Patut la beria benar kau mengarah itu ini. Sekejap macam tu, sekejap macam ni. Ada aje yang tak kena,” omelku. Sengaja mencipta suasana lebih selesa.
          “Surprise. Kalau aku bagitahu tak adalah surprise sangat kan? Ha, Man! Happy birthday! Hadiah hari jadi kau! Amacam, suka tak?” kata Anis sambil mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Aku terkesima sekali lagi. Hari jadi? Kenapa aku tak tahu? Oh ya, aku tak pernah tanya pun. Aku tak pernah berpeluang untuk meraikan hari gembira itu bersamanya dulu.
          Adif berdiri tegak. Matanya terkebil-kebil memandang sekitar dapur. Dinding dapur berwarna biru muda warna langit dan putih. Di satu sudut terdapat mural hidupan laut lukisan Anis sendiri. Aku lihat Adif menarik senyuman lebar. Dia menoleh ke arah Anis. Bibirnya seakan-akan mengucapkan ‘thanks’ tanpa suara.   
          “Err, bila hari jadi Man? Hari ni ke?” soalku tanpa segan silu. Mereka berdua segera memandangku. Aku menggigit bibir. Kelihatan Anis ketawa lagi.   
          “Esoklah. Kitorang memang selalu bagi hadiah dan wish awal. Well, macam ni kitorang selalu jadi orang yang terawal, kan?” kata Anis sambil menepuk tangannya sekali.    
          “Well, jeles aku tengok korang. So, how about it? Suka?” tanyaku pada Adif. Dia tersenyum tipis. Kemudian menggigit bibir pula.
          “Suka sangat. Macam ni, tidur kat dapur pun dah tak kisah dah,” katanya sambil ketawa.      
          “Kau dah tak payah tidur kat dapur lagi dah. Kat belakang tu ada sedia bilik untuk chef dan pembantu chef.” Anis pula menyampuk. Memang benar pun kami menyediakan bilik untuk mereka. In case, mereka perlu bermalam di dapur bila tiba musim sibuk.        
          “Cantik tak bilik tu?” tanya Adif.     
          “Jangan nak mengada lebih. Dapur ni dah makan kos yang  banyak tau tak? So, bilik tu biasa-biasa jelah.” Balas Anis sambil mengetuk kepala Adif perlahan. Dia berpura-pura mengaduh sakit. Kemudian mereka sama-sama ketawa. Aku pula sekadar mampu tersenyum sahaja.       
          “Kalau macam tu, tengoklah apa yang patut. Anis, aku nak balik bilik. Nanti kau kenalkan staf dapur kat Man tau.”   
          “Okey. No worries, ‘mam!”      
         
Aku berlalu pergi meninggalkan mereka berdua yang masih galak bergurau. Masing-masing kelihatan begitu gembira. Hanya aku yang masih bercelaru fikiran memikirkan kemunculan tiba-tiba Adif Luqman hari ini. Semua ini masih terasa seperti mimpi bagiku.

Cinta2Musim 19

YN 19

“YURI, lambat pergi restoran hari ni? Kenapa?” soal Anis ketika aku sedang menyeterika tudung. Sudah hampir siap sebenarnya. Namun sengaja aku melambat-lambatkan disebabkan perutku yang sakit.       
          “Perut aku cramp pagi tadi. Itu yang aku malas nak bangun tu. Kau tau kan, aku bukannya workaholic sangat. Aku ponteng kejap je. Kalau aku pergi awal pun bukan boleh buat apa,” jawabku sambil terus menggosok. Kelihatan Anis masih menyikat rambutnya yang panjang itu.         
          “Bila kawan kau tu nak balik sini?” tanyaku pula.       
          “Siapa? Man? Chef kita tu cakap lusa dia balik. Nak bereskan rumah arwah nenek dia. Sehari sebelum perasmian dia akan masuk dapur, nak check apa yang patut.” Jawapan Anis mengejutkan aku. Anis kemudian mengambil kasut Conversenya di atas rak.  
          “Eh, apasal lambat sangat dia nak datang? Kita kan kena bincang menu untuk hari perasmian tu?”    
          “Entahlah. Aku dah cakap kat dia, tapi dia cakap tak dapat sebab dia banyak kerja nak kena settle. Dia cuma cakap nak bincang dengan partner lama dia pasal menu. Apa-apa nanti dia emel aku.”      
          “Kalau camtu tak apalah. Kalau ada apa-apa perubahan nanti terus bagitahu aku tau. Kau pergilah resort dulu. Kejap lagi aku pergi.”  
          “Okey. Eh, kau jangan lupa telan ubat dulu sebelum pergi. Nanti melarat pulak.”      
          “Yelah. Aku tahu.”         
          “Okey. Good girl. Aku chow dulu.”   
          Sambil membetulkan tudung di kepala, aku memerhatikan Anis keluar dari bilik. Anis ni cukup simple orangnya. Walaupun cantik tapi lebih selesa hanya dengan mengenakan t-shirt dan jeans. Tak lupa juga dengan sneakersnya.   
          Tiba-tiba aku teringatkan kawan Anis yang bernama Man itu. Man, kampung dan rumah arwah nenek? Aku terkesima seketika. Teringatkan arwah Tok yang meninggal lima tahun lepas. Masa Tok meninggal aku ada dekat Cameron Highland, bekerja sambilan dengan Abang Ngah. Aku tak dapat balik menjenguk arwah disebabkan aku baru sahaja bekerja.  
          Ada kemungkinan ke Man itu adalah orang yang sama? Ah, tak mungkin! Anis cakap dia dah kenal Man sejak kecil lagi. Tak mungkin mereka orang yang sama. Hatiku berbahas sendiri.
SETIBANYA aku di restoran, terus Anis menuju ke arahku.  
          “Kau ni dari mana? Dari tadi aku cari tak jumpa. Call tak angkat pulak tu.”     
          “Aku ada kat seberang. Jumpa Tok Penghulu confirm pasal atucara majlis la. Kenapa kau call aku? Telefon aku habis bateri. Nak cas pun Tok Penghulu takde charger yang sama,” kataku.      
          “Ni, pasal kawan aku. Petang ni dia datang.”      
          “Eh, kata nak datang esok? Kenapa awal pulak?”        
          “Dah kau bising mengamuk pasal menu, itu yang dia datang awal sikit.”
          “Mana ada aku mengamuk? Mengada betul kau ni! Pukul berapa dia nak datang?”   
          “Dalam setengah jam lagi kot. Sebab katanya pukul empat.” 
          “La, awalnya? Aku tak habis lepas penat lagi ni. Dari pagi lagi aku pergi rumah Tok Penghulu tu, update atucara majlis. Nasib baik isteri dia ajak aku makan tengah hari. Kalau tak memang aku dah mati kebulur dah sekarang ni.” Panjang rungutanku. Mana tidaknya badanku betul-betul penat ketika ini. Kelopak mata pun dah terasa berat benar.       
          “Alah, hari tu kau yang beria-ia nak dia datang awal. Sekarang merungut pulak. Ini baru sehari. Esok dengan lusa entah berapa kali ganda penat engkau tu. Relaks la. Tak pun, kau pergi berehat dulu kat bilik. Aku pun nak ke bilik ni. Ada dokumen tertinggal,” kata Anis memberi cadangan. Namun aku menggeleng.     
          “Kau pergi jelah. Aku stay kat sini je. Boleh berehat kat depan tu,” ujarku sambil bibir kumuncungkan ke arah kerusi malas di beranda restoran.   
          “Suka hati kaulah. Jangan tertidur kat situ sudah,” nasihat Anis. Aku hanya tergelak memikirkan itu sebenarnya suatu perlian.
          “Yelah. Lagi pun tak lama lagi aku dah tak boleh lepak kat situ dah. Nilah can nak lepak puas-puas.” Anis hanya mengangguk mendengar kata-kataku. Sambil berlalu pergi rambutnya ditarik perlahan dan diletakkan di sebelah kanan bahu.       
          Aku pula terus melangkah ke beranda. Aku menarik keluar bahagian bawah kerusi yang boleh dipanjangkan dan dijadikan alas kaki. Kemudian badanku direbahkan di atasnya. Rasa selesa. Mataku dihalakan ke arah kuala. Kelihatan bot-bot kecil sedang keluar masuk melalui kuala tersebut. Ombak-ombak kecil kelihatan berbalam-balam dari kejauhan. Dan dek kerana tak mampu lagi menahan kantuk, entah bila aku terlelap.
AKU mamai ketika telefon di tanganku terlepas dari genggaman. Ketika membetulkan kepalaku, mataku seakan-akan menangkap wajah Adif dalam kesamaran. Segera aku membetulkan duduk dan menggosok mata yang berpinar. Sudah lamakah aku tertidur?    
          Kemudian mataku pantas menghala ke tepi beranda, berhampiran tangga. Di situ berdiri sesusuk tubuh yang sudah begitu lama tidak kulihat. Jantungku seolah-olah berhenti berdegup. Masa juga seakan-akan terhenti. Wajahnya langsung tidak berubah. Seolah-olah tidak dimakan usia. Adakah aku bemimpi?        
          Aku berdiri, namun untuk menghampirinya tidak sama sekali. Aku takut jika ini sekadar mimpi semata-mata. Matanya yang jernih terus memandangku. Tanpa senyuman, tetapi seperti menembusi ke dalam diriku. Aku mengalih pandangan ke dalam restoran dan kemudian memandangnya semula. Namun dia masih tetap berdiri tegak di situ.        
          “Yuri… kan?” suaranya menyapa telingaku tiba-tiba. Suaranya, aku sudah lupa seperti apa. Suaranya kini kedengaran asing pada pendengaranku. Aku tidak menjawab melainkan terus memandang pada wajahnya. Ketika aku mengalihkan pandangan ke lantai itulah Anis muncul di tangga itu.   
          “Man, dah sampai?” soal Anis. Bulat mataku memandang Anis. Pada mulanya aku sangat berharap itu hanya pelanduk dua serupa. Namun bila mendengar Anis memanggil namanya, aku tahu ini bukan lagi mimpi atau khayalanku.
***

Cinta2Musim 18



YN 18

AKU kembali ke resort dalam pukul sebelas lebih. Sebagai pengurus pentadbiran restoran baru dalam resort ni, aku turut disediakan bilik sendiri di dalam resort sebagai kemudahan tempat tinggal. Buat sementara waktu ini juga, Anis akan tinggal bersama aku. Dia dengan sukarela membantu aku di sini untuk permulaan ini disebabkan aku masih belum mempunyai pekerja mahir dalam bidang ini.                
          “Hei, termenung je? Kau teringatkan siapa pulak ni?” tegur Anis tiba-tiba. Dia ni tahu-t          ahu je aku termenung. Bukannya ingat kat siapa-siapa pun.
          “Salah ke nak termenung? Tak payah nak ingat kat siapa-siapa. Ingat kat kau je. Aku terfikir apa aku nak buat kalau kau tak ada nanti,” ujarku tanpa berselindung apa-apa. Anis bukannya tidak kenal aku.    
          Kami berkenalan semasa di universiti semasa mengambil diploma dahulu. Berkongsi rumah sewa bersama dua lagi rakan yang lain. Disebabkan dia agak petah berbahasa Kelantan, kami menjadi rapat. Bermakna kami sudah berkawan selama hampir lima tahun. Dan kini atas tiket seorang kawan dia sanggup naik ke Pantai Timur ini untuk membantuku.         
          “Alah, kau ni tak habis-habis pasal kerja aku. Kita kan dah bincang pasal ni? Tak payahla cakap pasal ni lagi,” rajuk Anis. Alahai nak merajuk pulak dia. Bukan besar pun masalah ni.
          “Tak payah nak merajuk sangat lah. Dah kau tanya, aku jawab la apa yang ada dalam kepala aku ni.”    
          “Kau tak boleh nak beza ke aku merajuk dengan marah, ha?”        
          “Aik, kau marah ke? Ingat kau merajuk tadi.” Balasku kembali. Aku tahu dia bukannya serius. Anis ni boleh tahan jugak loyar buruknya. Loyar buruk inilah yang mengingatkan aku kepada seseorang. Seseorang yang sudah hampir lima tahun menghilang dari kamus hidupku.    
          “Dahlah. Malas aku melayan kau. Aku penat, nak tidur. Kalau kau tak nak tidur lagi, kau pergi sambung menung kau yang tadi tu,” kata Anis. Selimutnya yang terlipat dibuka dan lampu katilnya juga turut dibuka. Aku tahu Anis tak betah tidur di dalam suasana yang gelap. Sekejap sahaja sudah kedengaran dengkuran halus Anis.    
          Aku kembali memandang ke luar tingkat yang gelap gelita. Tingkap bilik ini tidak menghadap angin malah menghadap ke resort. Memudahkan aku memantau keadaan jika dalam apa-apa kecemasan. Oleh sebab itu, angin tidak begitu dapat bertiup ke dalam bilik menyebabkan terasa berbahang apabila siang. Kini pun aku membuka tingkap supaya sedikit sebanyak angin malam dapat bertiup masuk.     
          Semakin aku termenung semakin aku tenggelam dalam bayangan silam. Aku mengaku selama lima tahun ini aku hidup dalam kenangan. Selama lima tahun aku tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Tanpa sepatah kata dan khabar berita. Entah di mana dia berada kini, aku sendiri tidak tahu. 
          Sehingga kini aku tidak tahu adakah aku sudah dilupakan? Atau adakah aku tidak pernah wujud dalam hidupnya? Apakah status hubungan kami kini? Aku juga tidak tahu kenapa selama lima tahun hati aku tidak pernah lagi terbuka untuk mana-mana lelaki. Aku tak pasti adakah hati aku masih menunggunya atau aku sebenarnya sudah berputus asa dengan cinta?      
          Persoalan demi persoalan ini tidak pernah pergi dari mindaku. Ianya seolah-olah akan terus menjadi persoalan sehinggalah suatu saat nanti aku menemukan semua jawapannya. Dan aku tidak tahu sampai bila ianya akan menjadi persoalan.     

***

CInta2Musim 17

YN 17

AWAL 2013

AKU duduk menyandar di kerusi malas yang diletakkan di beranda restoran. Kedudukan beranda ini betul-betul menghadap ke kuala. Angin petang yang damai berhembus meniupkan tudung di kepalaku dengan perlahan.       
          Penat sungguh menyusun meja di beranda ini. Ini pun tak siap lagi. Maklumlah pekerja tak ramai untuk permulaan ini. Terpaksa cut budget untuk permulaan perniagaan ni. Aku hanya sempat bekerja makan gaji selama setengah tahun sahaja selepas graduation. Tak banyak yang mampu aku kumpul untuk modal permulaan. Tambahan pula ini projek mega yang melibatkan campur tangan kerajaan negeri dan beberapa jabatan kerajaan yang lain. Jadi kiranya kerajaan ada share sebanyak lima puluh peratus dalam restoran ini. Sebarang perbelanjaan akan dipantau oleh mereka.
          “Hai, Yuri! Takkan dah pancit kot?” Aku menoleh memandang empunya suara. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Rambutnya yang panjang dan lurus turut dihembus angin petang.       
          “Mana tak penat, Anis. Dah seminggu kita buat persiapan ni. Tak siap-siap lagi. Dateline dua minggu tu tak cukup untuk kita siapkan ni semua. Aku pun tak puas hati betul dengan pusat tu. Kenapa la diorang tu nak cepatkan sangat pembukaan resort ni?” rungutku. Memang aku agak tidak berpuas hati dengan pengarah pusat. Bukannya apa, cuma banyak masa diperlukan untuk decorate tempat ni seperti yang dicadangkan Anis Munirah, decoration designer aku dan juga salah seorang ahli lembaga pengarah restoran makanan laut berasaskan tiram ni.     
          “Alah, relaks la. Memang adat orang berniaga penat macam kau ni. Kau dulu pun pernah kerja dalam restoran kan? Mestilah kau dah tau selok belok perniagaan dalam restoran macam mana. Lagi pun kursus diploma kau dulu pun bukannya banyak beza dengan pengurusan restoran ni,” kata Anis pula.  
          “Aku kerja sekejap je. Tak sempat nak berlama sangat sebab masa aku fresh graduate dulu lagi diorang dah suruh aku buat plan untuk restoran ni. Dalam beberapa bulan je terus nak operate. Tak cepat sangat ke tu?”       
          “Kau jugak yang nak kan? Plan ni dah bertahun kau buat, Yuri. Dah rezeki kau datang awal. Sepatutnya kau bersyukur rezeki kau datang bergolek macam ni. Bukannya macam aku. Takde satu pun surat tawaran yang sampai ke rumah aku.”
          Anis ni, tak habis-habis dengan rungutannya tentang surat tawaran kerja. Apa taknya, kerja simple separuh masa tak nak. Apa pun tak nak, sehinggakan selama tujuh bulan ni dia menjadi penganggur tegar. Bukannya tak ada kerja kosong dekat Kuala Lumpur tu.
          “Bukannya aku tak bersyukur, cuma aku penat je dengan semua ni. Kau tu pun aku ajak kerja sekali tak nak. Mama kau ajak kerja dekat kedai roti dia pun kau tak nak. Aku pun tak faham dengan perangai kau ni.”
          “Aku bukan tak nak. Tapi kau pun faham jiwa aku macam mana. Semua kerja ni tak kena dengan jiwa aku. Aku ni dalam bidang elektronik. Takkan kau nak aku kerja dengan mama aku kat kedai roti tu kot?” balas Anis. Suaranya sedikit meninggi. Kini dia bersandar pada penghadang beranda yang bercorak flora yang abstrak, juga hasil nukilannya. 
          “Banyaklah kau punya bukan bidang. Habis yang kau decoratekan tempat ni apa? Ini kau punya bidang dan bakat kau tau tak? Nak harapkan aku memang tak la.”
          “Ini bukan bidang. Ini hobi. Kau apa tau? Kau tu dulu takde benda lain, asyik dengan kajian ternakan tiram je kerja kau.” 
          “Ah, suka hati kaulah! Malas aku nak bergaduh dengan kau lagi. Apa pun tak makan. Sama jugak keras hati kau tu. Nasihat orang tak nak dengar,” marahku. Aku mencebik. Anis juga mencebik.    
          Salah seorang pekerja aku tiba-tiba menghampiri kami. Berpeluh-peluh dahinya.     
          “Cik Yuri, kerja kami kat dapur dah hampir siap. Macam mana dengan jadual seterusnya?” tanya Shima, salah seorang pembantu dapur.  
          “Kan dah banyak kali saya pesan, panggil je Yuri. Tak payah nak cik-cik sangat. Macam saya ni anak bangsawan pulak.” Aku berdiri lalu membetulkan baju t-shirt yang kupakai. Shima kulihat tergelak kecil.  
          “Apa pulak cik? Memanglah cik ni bos besar. Bukan anak bangsawan pun, dah kalau bos besar kena panggil dengan panggilan hormat juga,” katanya. Anis di sebelah turut mengangguk.      
          “Suka hati awaklah nak kata apa pun. Tapi kalau boleh kita nak rapat-rapatkan hubungan staf jadi kata panggilan tu penting. Kalau awak panggil saya Yuri kan ke nampak rapat tu? Hmm, macam nilah. Sebab sekarang dah masuk waktu Asar, awak bagitahu yang lain-lain boleh berhenti kerja dulu dan balik ke resort. Lepas maghrib yang ada kerja lagi boleh datang balik. Selebihnya masuk kerja pagi esok macam biasa.” Panjang lebar aku memberi arahan. Shima terus mengangguk dan beredar. Aku kembali menyambung duduk di kerusi malas ini.  
          “Eh, Yuri. Pasal kawan aku yang aku rekomen kat kau tu, dia dah setuju nak ikut projek ni. Sebab dia nak balik kampung dan duduk rumah arwah nenek dia kat sini. Dia cakap dah lama tak balik jenguk rumah arwah nenek dia kat kampung.”
          “Dia memang orang sini ke?” tanyaku tiba-tiba ingin tahu. Siapa anak kampung ni yang pandai masak ya?
          “Asalnya memang sini. Tapi dah lama dia tinggal dekat KL. Lepas nenek dia meninggal lima tahun lepas, dia memang tak pernah balik sini lagi.”     
          “Pandai ek kawan kau tu masak. Kau cakap lelaki kan?”      
          “Haah, lelaki. Dia memang ambik kursus masakan. Kalau tak sebab dia minat memasak, takdelah kitorang terpisah kursus. Yelah kitorang kenal dari kecik. Dari zaman sekolah sampailah ke universiti sama-sama. Tapi akhirnya sebab kursus lain-lain kitorang macam break sekejap.”    
          “Kiranya korang nak sambung balik la ni? Dia ni pakwe kau eh?” tekaku. Mana tahu mengena sebab dari gaya Anis bercerita nampak macam dia seronok sangat kawan dia ni nak datang kerja kat sini.    
          “Isy, mana ada kau ni! Dia tu macam abang aku kau tau tak? Lagi pun dia tua dua tahun dari kita.”  
          “Habis tu, kalau lebih tua tak boleh buat pakwe? Tak logiklah kau ni.”   
          “Bukan tu la maksud aku. I mean memang aku takde perasaan apa-apa pun kat dia. Aku sayang dia macam abang je. Aku pun anak tunggal, kan?”     
          Aku mengeluh mendengar jawapan Anis. Apa-apalah. Lagi pun aku sangat penat ketika ini. Bila aku pandang ke muara, pandanganku seolah-olah semakin kelam. Kepala pula sedikit berpusing-pusing. Aku berharap supaya tukang masak utama nanti tak memberi banyak masalah kepada aku dan restoran ini.       
          “Yuri! Kau jangan terlelap pulak kat sini!”
***

Cinta2Musim 16

YN 16
AWAL 2009
“APA? Jepun? Jauhnya. Nak buat apa kat Jepun, abang?” bertalu-talu soalan kulemparkan kepada Adif. Tiba-tiba sahaja katanya hendak ke Jepun. Jauh pulak tu. Kalau ke Kuala Lumpur tak apalah. Boleh tahan dekat.    
          “Sekarang kan dah cuti. Mak dengan papa ajak pergi Hokkaido. Saja pergi bercuti, kenapa tak boleh pulak?” soalnya balik kepadaku.      
          “Yuri tak cakap pun tak boleh. Tapi jauh sangat la, bang. Line telefon susah,” rungutku lagi.  
          “Apa yang susahnya. Yuri kan ada broadband. Kita chatting la kat Facebook.”  
          “Abang ni tak best betul la. Cuti lama tau. Boring la Yuri sorang.” Aku masih merajuk. Sebenarnya aku tak mahu dia tinggalkan aku walaupun sehari. Disebabkan mimpi-mimpi burukku sejak kebelakangan ini, aku jadi takut kalau dia benar-benar pergi meninggalkan aku nanti.  
          Ibu yang datang dari dapur sambil menatang dulang berisi teh panas serta keropok segera melabuhkan punggung di sisi aku.
          “Apa yang bising sangat ni Yuri? Malu didengar jiran-jiran,” tegur ibu.   
          “Abang ni ibu. Dia nak ke Jepun cuti ni. Lama pulak tu,” rungutku lagi. Lengan ibu kuraih dan kepala kulentokkan pada bahu ibu. 
          “Haah mak cik. Khamis ni terus saya ke Kuala Lumpur. Jumpa mak dengan papa kat sana. Lepas tu terus terbang ke Jepun. Lagi pun mak dah tempah tiket ke sana,” kata Adif.
          “Mak cik dengar kamu ada adik kat sana. Dia tak pergi sekali ke?” tanya ibu. Aku membuat muka kepada ibu.   
          “Isy ibu ni. Orang suruh ibu pujuk abang ni supaya tak pergi ke Jepun tu. Ini lebih-lebih pulak dia tanya.” Marah aku jadinya kepada ibu.
          “Apa Yuri ni? Dah keluarga dia ajak, kena la pergi. Masa dia dengan keluarga dia, kamu mana boleh kacau. Adif ni belum jadi suami Yuri lagi. Tak bolehlah Yuri mintak itu ini.” Panjang bebelan ibu kepadaku. Aku lihat Adif sekadar tersenyum. Malu aku dibuatnya.     
          “Mak cik tak perlu la cakap macam tu. Malu saya dibuatnya. Adik saya, Akif ikut sekali jugak. Cuma dia pergi awal. Duduk rumah ayah saudara yang dua sepupu dengan mak kat sana.” Adif menyambung menjawab soalan yang ditanya ibu sebelumnya.        
          “Oh, macam tu. Mak cik ni walaupun kenal mak kamu sejak kecil tapi lepas kahwin je terus terputus hubungan. Padahal rumah tak jauh mana pun. Tak sempat tengok anak-anak dia lahir pun,” kata ibu sambil menuangkan teh ke dalam cawan dan meletakkannya di hadapan Adif.      
          “Jemputlah minum, Adif. Tak ada apa kat dapur tu nak dihidangkan. Teh bujang ni je yang ada.” Ibu berbasa basi. Sebetulnya ibu sudah lama tahu mengenai hubungan aku dengan Adif. Itu pun setelah ibu mengangkat panggilan telefon dari Adif dan Adif pula tidak tahu yang mengangkat telefon ketika itu adalah ibu. Faham-fahamlah perangai Adif yang suka bergurau dengan aku. Ibu dipanggilnya sayang. Mana tak kantoinya?    
          “Alah mak cik. Saya tak kisah pun. Yang mana ada yang itulah saya telan. Lagi pun saya ni bukanlah yang jenis kuat makan.”         
          Amboi, banyaklah kelentongnya! Bukan abang ni perut tong sampah ke? Semua makanan pun nak dibahamnya. Tapi nasib baik badan susah nak naik. Apabila aku menjuihkan bibir ke arahnya tanpa pengetahuan ibu, dia mengenyitkan pula matanya kepadaku. Sah, kaki kelentong!       
          “Sebenarnya saya pergi Jepun ni nak tengok keadaan sekeliling. Maklumlah ini kali pertama saya ke luar negara. Saya  nak tengok peluang sambung belajar kat sana macam mana. Lagi pun cuti banyak bulan ni. Kalau keadaan sesuai dengan saya insyaALLAH saya nak belajar kat sana.”   
          Bukan main terkejut aku mendengar kata-katanya itu. Tidak pernah pula dia memberitahuku tentang hajatnya hendak belajar di luar negara. Yang aku tahu dia hendak meneruskan impiannya untuk menjadi seorang juruterbang sahaja. Tapi perlu ke pergi sampai ke Jepun?  
          “Apa abang ni? Tak pernah bincang dengan Yuri pun? Result STPM pun belum keluar lagi kan? Takkanlah nak tinggalkan Yuri dekat sini macam ni je?” aku menjerit tiba-tiba. Ibu di sebelahku turut terkejut.    
          “Yuri ni kenapa? Mana boleh halang cita-cita Adif macam ni? Itu bukan sayang namanya. Itu pentingkan diri,” marah ibu. Mataku sudah mula bergenang dengan air mata. Tapi kutahan juga agar tidak tumpah di ha dapan mereka berdua.
          “Mak cik jangan marah Yuri macam tu. Salah saya juga sebab tak bagitahu hal ni awal-awal lagi. Tujuan saya datang hari ni pun memang nak bagitahu hal nilah. Dan saya dah agak dah mesti Yuri tak boleh terima. Tapi Yuri, ini cuma rancangan saya je. Jadi ke tak nanti tu urusan ALLAH. Kita hanya merancang Yuri. Nanti kalau dapat, maknanya itu dah ditakdirkan Tuhan untuk saya.”      
          Aku hanya memandang wajahnya sahaja tanpa berkata apa-apa. Hati aku terlalu sedih untuk menerima keputusannya. Namun apakan daya, aku tak boleh menghalang dia dari mencapai cita-citanya. Untuk mengikut jejak langkahnya memang tak termampu aku. Aku sedar aku tak cukup pandai untuk mendapat result yang cemerlang pun dalam SPM tahun lepas.
          “Yuri, saya pergi untuk capai cita-cita saya yang awak dah bantu saya temukan cita-cita ni dalam diri saya. Jadi saya harap awak doakan saya berjaya. Dan awak pun kena berjaya kat sini.” Adif tersenyum memandangku. Kalau ibu tak ada kat sini aku pasti Adif sudah pun menggenggam erat tangan aku saat ini.    
          Setelah berfikir sedalam-dalamnya kebaikan dia ke sana, aku yakin aku mampu berdiri teguh di sini menanti kejayaannya. Aku yakin kami mampu mempertahankan cinta yang berjauhan ini nanti.      
          “Okey.”
          “Ingat tak janji abang dulu. Abang tak akan tinggalkan Yuri melainkan nyawa yang bercerai dari badan.” 

***

Cinta2Musim 15

YN 15
KAMI tiba di pulau sudah hampir tengah hari. Disebabkan Noty sudah pun tahu jalan ke rumah Adif, dia tidak jadi mengambil kami. Aku dan Erica hanya mengikut langkah Noty.
          Seperti janjiku kepada Adif, aku akan ke rumahnya hari ini untuk melawat neneknya. Dan peperiksaan hanya seminggu sahaja lagi. Sengaja aku mengajak kawan-kawanku ke sini bukan sahaja untuk bertemu dengan nenek Adif tapi juga untuk memohon restu Nek Su Tijah, nenek Noty dan restu Tok, nenek Adif. Aku juga berharap dapat menenangkan fikiran untuk persediaan peperiksaan nanti.        
          “Tak sangka sampai juga Yuri ke rumah Tok ni,” ujar Tok entah ke berapa kali setelah Noty dan Erica beredar ke rumah Nek Su Tijah tidak berapa lama tadi. Kata Noty tidak mahu mengganggu aku mengeratkan hubungan dengan keluarga Adif dan menyuruhku ke rumah neneknya kemudian sahaja.   
          “Yelah Tok. Entah cucu siapa yang tak habis-habis memujuk Yuri ke sini.” Sengaja aku cuba beramah mesra, tidak mahu kelihatan terlalu canggung dengan Tok. Apatah lagi setelah kawan bertuah aku dua orang itu sudah pun meninggalkan aku sendirian di sini.    
          “Eh, apasal kawan-kawan awak blah macam tu aje? Kata nak temankan awak kat sini?” Adif berbisik di telingaku. Perbuatannya membuatkan aku tidak selesa di depan Tok. Namun aku tidak menjawab soalannya itu. 
          “Man pujuk Yuri? Tok tak dapat bayangkan macam mana cucu Tok yang seorang ni pujuk perempuan,” kata Tok. 
          “Mana ada Tok. Tak ada makna nak pujuk-pujuk ni. Yuri ni, sekali ajak je terus melompat nak datang jumpa Tok.” Adif ketawa dapat mengenakan aku. Seronoklah tu. Tok pun turut ketawa sama sehingga menampakkan gusinya.    
          “Kali ini baru buku bertemu ruas. Suka Tok tengok Man dengan Yuri bergaduh sayang macam ni.” 
          “Alah, Tok. Abang Adif ni mana menang dengan Yuri. Kalau Yuri merajuk, siaplah dia. Kan dia mana reti nak pujuk Yuri.” Aku tidak mahu mengalah. Betul seperti kata Tok aku suka bergurau begini dengan Adif. Seperti ada keserasian di antara kami berdua.      
          Aku perasan air muka Adif berubah apabila aku membahasakan dia sebagai Abang Adif. Bukan sengaja ingin mengusik dia, cuma mahu melihat reaksinya dengan panggilan sebegitu.         
          “Betul kata Yuri tu. Man mana reti nak pujuk orang. Yelah, semur hidup dia cuma dengan Tok je. Baru-baru ni je jumpa dengan adik dan maknya, tapi tiap kali raye je. Orang sibuk mana nak sempat balik jenguk anak yang seorang ni.” Bunyi suara Tok seperti orang merajuk saja gayanya. Namun Adif tidak pula berkata apa-apa. Aku memahami maksud Tok tapi aku agak penasaran mengenai ibunya. Kenapa ibunya tidak membawanya bersama ke Kuala Lumpur tetapi ditinggalkan di sini bersama neneknya?        
          “Tok ni kenapa ungkit kisah lama tu? Yang sudah tu biarlah sudah. Jangan cerita benda yang bukan-bukan dekat Yuri.” Perlahan suara Adif. Tapi aku cukup mengerti perasaannya ketika ini. 
          “Abang, perkara yang sudah kalau disimpan lama-lama nanti makan diri jugak. Yuri tak kisah kalau Tok atau abang sendiri nak cerita kat Yuri. Yuri boleh jadi pendengar yang baik. Tapi kalau abang tak nak cerita pun tak apa. Yuri faham,” kataku sambil melemparkan senyuman kepadanya. Tok disebelahku mengusap belakangku perlahan.         
          “Hah, yelah tu. Tok dengan Yuri dah sekepala sekarang ya? Pandai nak boikot abang seorang ni.” Sudah berkata-kata Adif bangun dari duduknya dan menuju ke dapur.  
          “Alah, merajuklah tu. Orang cakap sikit je, bukannya sengaja sebelahkan Tok,” kataku lagi walaupun kelibat Adif sudah pun menghilang di sebalik dapur.        
          “Kamu berdua ni suka sangat bergaduh, kan?” tanya Tok apabila mendengar keluhan aku.  
          “Tak adalah Tok. Itu loyar buruk namanya. Abang Adif tu suka loyar buruk, sampaikan Yuri pun terikut sekali dengan perangai dia.”     
          “Erm, eloklah kalau macam tu. Adif tu sebenarnya sensitif sikit orangnya.” Kata-kata Tok memeranjatkan aku. Tidak pula aku tahu Adif itu sensitif. Selama aku mengenalinya langsung tiada tanda-tanda dia seorang yang sensitif. 
          “Sensitif kenapa Tok?” tanyaku.      
          “Tok pun sebenarnya tak suka sangat bercerita hal keluarga dia. Semua yang terjadi bukan salah mak dia seorang. Tok pun ada buat salah juga. Sebab tu Tok tak berapa suka sangat mengungkit hal lama. Tadi tu, Tok cuma tersalah cakap je.”         
          Aku tidak dapat memahami butir bicara Tok. Apa yang terjadi dalam keluarganya sebenarnya? Itu yang menjadi tanda tanya bagiku.     
          “Man! Apa yang kamu buat dekat dapur tu? Dah macam anak dara pulak Tok tengok,” laung Tok tiba-tiba. Aku tahu Tok cuba mengelak dari terus bercerita mengenai keluarga Adif. Kerutan di wajah Tok jelas menggambarkan dia sebenarnya berharap ada seseorang yang dapat dikongsi kisah hidup mereka yang penuh dengan misteri itu.        
          Kelihatan kepala Adif menjengah dari pintu dapur.     
          “Tok, kalau dibiarkan Tok bersembang Cik Adik Yuri kita ni, tak berasaplah dapur kita ni, Tok. Kebulur tetamu kita tu, kesian.” Kemudian Adif kembali semula ke dapur.    
          “Tengok tu Tok. Bukan main lagi abang tu berloyar buruk.” Sengaja aku meninggikan suara supaya dia dapat mendengar panggilan abang yang ditujukan kepadanya. Tok hanya ketawa sahaja.     
          “Tak apalah, Yuri pergi ke dapur temankan Man masak apa yang patut. Bukan banyak pun, dah Erica dengan Noty tadi balik ke rumah nenek dia. Kalau tak, kita boleh makan tengah hari ramai-ramai.,” ujar Tok sambil mencapai remote televisyen.  
          Aku memandang muka Tok.  
          “Pergilah. Tak apa, Tok nak tengok tv sekejap.” Kata Tok lagi. Tanpa berkata apa-apa aku melangkah ke dapur. Rumah papan Tok yang agak usang ini menghasilkan bunyi keriuk setiap kali aku berjalan di atasnya.  
          Kulihat Adif sedang menuang minyak ke dalam kuali. Wah, terer jugak dia ni memasak!         
          “Pandai eh awak masak,” tegurku. Dia bepaling dan merenung tepat ke mukaku.      
          “Kenapa? Salah ke saya cakap?” rasa hairan tiba-tiba bila dia melihatku begitu. Adif kemudian mengalihkan semula tumpuannya kepada kuali yang dipegangnya. Bawang yang berada di dalam lesung di masukkan ke dalam kuali. Nampaknya dia agak cekap menumis bawang tersebut. 
          “Tadi bukan main lagi ber’abang’ dengan saya depan Tok?” katanya tiba-tiba. Eh, merajuk betul ke ni? Betul kot kata Tok tadi yang Adif ni sensitif.  
          “Apa pulak? Depan Tok mestilah kena sopan. Tak boleh ke?” soalku. Adif masih menumis bawang di dalam kuali yang sederhana apinya. Kemudian dia memasukkan lobak merah yang dipotong kecil. Aku pula hanya memerhatikan dari sisinya. 
          “Hari tu saya mintak kemain lagi awak beralasan. Ini Tok tak ada mintak pun, tapi ringan je mulut awak tu,” jawabnya sambil memasukkan kubis pula. Digaulnya lagi sebelum memasukkan garam.              
          Ah, rupanya memang benar dia sedang merajuk! Baru aku sedar begini rupanya cara dia meminta dipujuk. Dan dia sensitif dengan caranya yang tersendiri membuatkan orang lain sukar untuk menyedarinya.   
          Aku menongkatkan siku ke para dapur.   
          “Amboi, bang! Macam ni rupanya lelaki merajuk ya? Sampai tak nak peduli Yuri yang datang nak menolong ni.”      
          Adif memandang ke arahku sekejap.
          “Nak tolong apa? Dah siap dah pun. Itu asam pedas ikan gelama yang abang tangkap dalam periuk tu, tolong bubuh dalam mangkuk.” Arahan Adif seperti memukauku seketika. Aku segera mengambil mangkuk di atas rak dan mencedok kuah asam tersebut ke dalam mangkuk. Tanpa aku sedar dia sedang ketawa mengekek dengan tapak tangannya menutup mulut menahan tawanya dari meledak.    
          Bila aku perasan yang dia sedang ketawakan aku, dia sudah pun terduduk di atas lantai sambil ketawa dengan sudip masih di tangannya.       
          “A… abang gelak macam nak rak ni kenapa?” kataku sambil mendekatinya. Api dapur yang masih menyala kututup. Hangus pula sayur tu nanti.  
          “Ye ah. Sebab Yuri nampak blur sangat tadi. Padahal dia sebenarnya nak kenakan abang tadi kan? Sampai tak perasan yang abang gelakkan dia.” Dengan tawa yang masih bersisa Adif menjelaskan keadaan sebenar. Sudip ditangannya diletakkan di dalam kuali. Setelah itu dia mengambil sebiji pinggan kecil untuk mengisi sayur tersebut.       
           “Ada pulak macam tu. Dah abang suruh, Yuri buat jelah.” Aku masih cuba mempertahankan diri sambil terus memainkan watak ‘abang-Yuri’ dengannya. Namun ada sesuatu yang membuatku curiga sebenarnya.    
          “Yuri sebenarnya tak perasan lagi ni.”       
          “Perasan apa?” Hah, kan aku dah cakap! Ada benda yang aku miss ni.   
          “Abang baru je menang. Kan Yuri cakap kat Tok tadi abang takkan menang dengan Yuri. Tapi Yuri baru je mengaku kekalahan Yuri.”        
          “Kekalahan apa pulak ni? Tak faham ni. Cepat terangkan,” gesaku.         
          “Yuri, panggil abang, abang! Alah, abang merajuk sikit pun dah masuk perangkap ke?” usiknya. Siap dengan isyarat tangan lagi tu.      
          “Oh, dari tadi dah tahu la eh? Siap gelakkan saya lagi tu. Takpe, saya mengadu kat Tok. Siap awak!” Aku melaungkan nama Tok, namun ditekupnya mulutku.   
          “Awak jangan main kotor,” ujarku memberi amaran. Lalu dilepaskannya aku ke pintu dapur. Aku menjengah mencari kelibat Tok.       
          “Tok, sekarang antara Yuri dengan Abang Adif, mana satu keutamaan Tok?” tanyaku. Tok menoleh ke arahku.         
          “Alah, mestilah Yuri. Man tu kan lelaki. Kalau dia buli Yuri mestilah Tok akan pertahankan Yuri.” Nah, tu dia! Aku mencebik kepada Adif. Adif menjulingkan mata tanda tidak puas hati.   
          “Merajuk lagilah tu,” kataku sambil menyusun pinggan makan di atas meja. Adif berpura-pura tidak mempedulikanku. Dia meneruskan kerjanya membasuh periuk kotor di dalam sinki.        
          “Okey, okey. Kali ni je Yuri mengalah dengan abang. Sebab Yuri sayangkan abang. Tapi lain kali jangan harap,” ucapku dengan nada perlahan. Tidak mahu nanti didengari oleh Tok.          
          Adif menjeling lagi ke arahku. Tangannya dibilas pantas.     
          “Macam tulah sayang abang. Ni tak, asyik abang je yang nak kena mengalah. Sekali sekali macam ni kan seronok.”  Sebuah senyuman terukir di bibir nipisnya. Tangan kanannya menggosok-gosok kepalaku yang berlapik tudung. Lagaknya seperti seorang ayah yang sedang memuji anaknya apabila mendapat keputusan yang cemerlang.     
          Namun seketika kemudian Adif tersengih. Bahunya diangkat membuatkan aku menarik tangannya dari kepalaku. Pandai ye cari cara nak kenakan aku? Habis tudungku basah dibuatnya. 
          “Abang!!!”

***

Cinta2Musim 13 and 14

YN 13

OKTOBER 2008

BUKU nota kecil berwarna hitam ini kucoret lagi dengan tinta hitam. Menceritakan pahit manis hari ini dengan setia. Sesekali aku termenung di beranda rumah Tok yang sudah hampir dua puluh tahun kududuki ini. Rambut yang agak panjang terjuntai di dahi kutolak ke belakang. Kemudian aku bersandar di kerusi rotan usang ini.   
          Bukannya apa. Aku sering kali teringatkan gadis bernama Yurisya ini. Senyumannya yang manis dan sifatnya yang matang membuatkan aku selesa bersamanya.    
          “Man, termenung jauh je? Teringatkan Yuri ke?” tegur Tok dari belakang. Aku tersenyum memandang wajah Tok yang sudah berkedut seribu itu. Rambut Tok yang beruban disanggul tinggi dan dihias dengan lingkaran bunga melur buatan sendiri. Semerbak baunya menerjah rongga hidungku.   
          “Rindu aje Tok. Dah lama tak jumpa,” balasku pendek. Aku mencapai tangan Tok yang urat-uratnya timbul. Tangan Tok kuteliti dan kugosok perlahan. Kuku-kuku Tok sudah pendek dipotongku semalam. 
          “Dah banyak bulan benar Man berkawan dengan Yuri. Tapi Tok tak pernah jumpa pun lagi. Tak nak bawa jumpa Tok ke? Tok nak juga tengok rupa bakal cucu menantu Tok yang sulung ni.”
          Wajah Tok kupandang lagi. Tok tersenyum cuma. Kelihatan gusinya yang menandakan Tok aku ini sudah sangat tua. Tiada sebatang gigi pun yang tinggal.       
          “Apa pulak bakal cucu menantu ni Tok? Jauh berangan Tok ni,” kataku.
          “Kalau tak berangan tak merasalah Tok nak tengok cicit nanti. Tok tak nak pergi dengan tak sempat tengok cucu kesayangan Tok ni bahagia.”  
          “Tok ni janganlah cakap macam tu. Man ni muda lagi Tok. Bahagia tu ada kat mana-mana. Lagipun mana lah tahu kalau-kalau yang pergi dulu tu Man.” Aku melepaskan tangan Tok dalam genggamanku. Tanpa melihat wajah Tok aku tahu mata tua Tok tajam menikam ke mukaku.    
          “Orang muda perjalanannya masih jauh.” Pendek kata-kata Tok. Namun aku hanya diam.
          “Bawa la Yuri ke sini.”
***
YN 14

“TENGAH study ke?” Kedengaran suara Adif di hujung talian. Aku mengambil sebiji bantal dan kuletakkan di atas riba. Telefon pemberian Abang Ngah ini melekap di telinga kananku.                  
          “Tak pun. Baca nota-nota sejarah ni je. Awak?”  
          “Break kejap. Penatlah study. Minggu depan ada test.”
          “Hmm. Mesti awak rindu kat saya kan sebab tu awak telefon saya.” Saja aku ingin bermanja dengannya. Aku cukup suka mendengar kata-kata cinta darinya.     
          “Yup. Sebab abang rindukan Yuri. Dah lama tak jumpa Yuri ni, abang teringin pulak nak tengok muka Yuri.” Suara Adif kedengaran tenggelam timbul di talian. Aku terkesima seketika. Abang? Sejak bila pula Adif buang tabiat berabang dengan aku ni?   
          “Aa… apa tadi? Abang? Sejak bila pulak awak pandai berabang dengan saya ni. Tak pernah-pernah pun.” Adif tergelak.           
          “Sejak abang jatuh cinta dengan Yurilah. Takkan tak boleh kot? Kan abang dua tahun lebih tua dari Yuri.” Aku terdiam mendengar kata-katanya. Dia juga diam di hujung talian. Agak lama. 
          “Yuri, Tok ada tanya pasal awak. Bila awak nak datang jalan-jalan kat sini lagi?” Tiba-tiba Adif mengubah topik perbualan. Aku sedar mungkin dia juga tidak selesa dengan kata-katanya pada awal tadi. Walaupun aku sebenarnya teringin juga memanggilnya dengan panggilan itu.      
          “Entahlah. Sekarang tengah sibuk dengan kelas tambahan semua. Jumaat Sabtu pun ada kelas tambahan. Eh, awak bagitahu nenek awak tu ke pasal saya?”  
          “Ye la. Tak boleh ke? Saya kan cucu kesayangan Tok.” Sayu suara Adif.  
          “Awak, sebenarnya saya nak tahu semua tentang awak. Awak ni banyak sangat misteri yang saya nak korek,” kataku tanpa segan. Sejujurnya aku memang ingin dia memberitahuku segala tentangnya. Aku ingin tahu latar belakang keluarganya. Kenapa dia hanya tinggal dengan neneknya? Kenapa hidupnya seperti sebatang kara?
          “Kalau macam tu, awak kenalah datang melawat Tok kat sini. Tok boleh cerita semua pasal saya kat awak. Apa yang awak nak tahu semua Tok tahu. Awak tanya je Tok.”
          “Kenapa awak sendiri tak nak bagitahu saya? Kan lagi senang macam tu?”      
          “Awak ni. Saya saja je nak cari alasan supaya awak datang jumpa Tok. Tok nak sangat jumpa bakal cucu menantu dia yang sulung ni. Lagi pun kan best kalau Tok yang cakap. Apa-apa rahsia pun Tok takkan simpan. Kalau dengan saya, saya boleh kelentong awak sesuka hati saya, kan?”   
          Panjang lebar pula Adif berkata-kata. Aku berfikir sejenak mendengar kata-katanya itu.         
          “Apa pulak bakal cucu menantu ni? Sejak bila pulak saya nak kahwin dengan cucu Tok. Tak malu la awak ni!” protesku. Aku inimasih di bangku sekolah untuk membicarakan soal kahwin.     
          “Bukan saya yang cakap tapi Tok sendiri yang cakap. Dengar saya cerita pun Tok dah berkenan. Kalau jumpa depan-depan mesti Tok suruh akad nikah terus.” Adif ketawa lagi. Lelaki ini memang suka ketawa. Suatu lagi tarikan yang sukar ditemui pada mana-mana lelaki.         
          “Awak ni gatal jugak kan? Sudah-sudah lah mengusik saya. Saya tak makan pun gurauan yang macam tu.”      
          “Ye ke? Entah-entah muka dia dah merah macam udang bakar tak?” Adif masih galak mengusikku.       
          “Pasal awak cakap cucu sulung tadi tu, awak ni ada adik beradik lain ke? Atau sepupu ke?” soalku apabila teringat tentang cucu menantu sulung yang dikatakannya tadi. Kalau aku bertanyakan adik beradik tiri sebelah ibunya, takut dia terasa pula nanti.        
          “Mana ada. Ayah anak tunggal Tok. Tapi saya ada seorang adik yang tinggal dengan mak dan papa dekat KL.”       
          “Oh, jadi awak dua beradik lah ni. Tak pernah pulak awak cerita kat saya pasal ni.”  
          “Ha, itulah! Nak tahu kenalah datang rumah Tok. Nanti apa je yang awak nak tahu, tinggal tanya je kat Tok. Kalau Tok tak nak jawab, awak tanya saya pulak. Okey?” Bersemangat pulak aku dengar Adif ni. Bersungguh-sungguh benar dia mahu aku ke rumahnya di pulau itu.
          “Tengoklah. Kalau free nanti, saya pergi. Yang penting sebelum saya examlah. Nak jugak mintak restu Tok untuk exam nanti. Tapi boleh tak kalau saya bawak Noty dan Erica sekali? Seganlah kalau saya datang seorang,” pintaku. Sememangnya agak canggung untuk ke sana sendirian. Lainlah kalau ada Noty dan Erica. Lagi pula Noty anak jati dari kampung itu. Neneknya ada tinggal di pulau itu. 
          “Saya tak kisah pun. Lagi ramai lagi bagus, meriah sikit. Tok tu sunyi sangat duduk rumah ni. Tak pun awak bawak sekali family awak. Boleh la awak pinang saya terus.”       
          “Isy, ke situ pulak dia! Okeylah. Apa-apa pun nanti saya inform awak. Saya dah mengantuk ni. Jangan lupa kirim salam kat Tok,” kataku.   
          “Okey. Sayang awak. Assalamualaikum.”  
          Aku mengetap bibir. Panggilan dimatikan dan salamnya hanya berjawab di dalam hati sahaja.

***